Majlis Watikah Pelantikan Pemimpin Waja SKTPP2 SESI 2023/2024
PEMBENTANGAN MANIFESTO CALON KETUA PENGAWAS SEKOLAH TAHUN 2023/2024
LAPORAN PERHIMPUNAN RASMI MINGGU 4 (SESI PAGI)
Pada 10 April 2023 bersamaan hari Isnin, satu perhimpunan rasmi telah dijalankan di Dataran Perhimpunan SKTPP2. Majlis bermula tepat pada jam 7.30 pagi dengan nyanyian lagu Negaraku, lagu Negeri Selangor dan lagu sekolah.
Selesai sahaja nyanyian, majlis diteruskan dengan lafaz Ikrar Rukun Negara dan Ikrar Sekolah. Lafaz ikrar ini telah diketuai oleh pengawas sekolah.
Selesai lafaz ikrar, majlis beranjak maju dengan bacaan doa yang turut dipimpin oleh wakil daripada pengawas sekolah.
UCAPAN KETUA GURU BERTUGAS
Majlis diteruskan dengan ucapan ketua guru bertugas, iaitu Encik Mohd. Shafie Bin Muhammad. Beliau memaklumkan kepada murid-murid senarai nama guru yang bertugas untuk minggu keempat persekolahan, iaitu:
- Encik Mohd. Shafie
- Puan Nurul Aqilah
- Encik Muhammad Ilham Baqti
- Encik Mohamad Rani
- Y.M Tengku Ayu
- Puan Suriakala
Beliau turut memberi sedikit penjelasan kepada murid-murid berkenaan tema untuk minggu keempat persekolahan, iaitu Hindari Vandalisme. Murid dilihat memberikan tumpuan yang penuh sepanjang penjelasan itu disampaikan.
UCAPAN AJK KECERIAAN DAN KEBERSIHAN KELAS
Majlis diteruskan dengan pelaksanaan Program Kebersihan dan Keceriaan Kelas. Majlis tersebut telah dikemudi oleh Encik Muhammad Bahij. Beliau memberikan penjelasan kepada murid-murid akan objektif program tersebut dijalankan, iaitu bagi memastikan kelas masing-masing senantiasa bersih dan ceria bagi memangkin proses pembelajaran yang bermakna di samping mewujudkan persaingan secara sihat antara kelas bagi memenangi pertandingan keceriaan dan kebersihan kelas yang akan dilaksanakan sepanjang tahun.
Program Kebersihan dan Keceriaan Kelas ini telah diakhiri dengan gimik perasmian yang telah disempurnakan oleh Yang Berusaha, Datin Nora Binti Yusof, Penolong Kanan Hal Ehwal Murid SKTPP2.
UCAPAN WAKIL PENTADBIR
Majlis diteruskan lagi dengan amanat daripada Puan Siti Raudah Binti Hamid, Penolong Kanan Kokurikulum SKTPP2. Beliau mengingatkan kepada murid-murid supaya memperbetulkan cara semasa ingin keluar ke tandas apabila guru berada di dalam kelas.
UCAPAN GURU BESAR
Majlis diakhiri dengan ucapan dan mandat yang telah disampaikan oleh Yang Berusaha, Encik Zanuddin Bin Sanuan, Guru Besar SKTPP2. Antara intipati ucapan beliau ialah:
- Beliau memaklumkan akan keadaan infrastruktur sekolah yang tidak baik berikutan ribut yang melanda Taman Putra Perdana.
- Beliau mengingatkan agar murid-murid mengutamakan keselamatan sepanjang berada di kawasan sekolah.
- Beliau mengucapkan tahniah kepada murid-murid yang berjaya berpuasa sehingga ke hari ini.
Majlis perhimpunan tamat tepat pada jam 8.10 pagi dan semua murid beredar naik ke kelas masing-masing dalam keadaan yang teratur.
Laporan Disediakan Oleh,
LAMPIRAN BERGAMBAR
LAPORAN PERHIMPUNAN RASMI MINGGU 3 (SESI PAGI)
Assalamualaikum dan salam sejahtera.
Untuk makluman semua, perhimpunan rasmi pada 3 April 2023 bersamaan hari Isnin telah DITANGGUHKAN berikutan keadaan cuaca yang tidak mengizinkan. Namun demikian, waktu Perhimpunan digunakan sepenuhnya oleh Guru Kelas untuk menceriakan kelas masing-masing.
Di sini, dilampirkan bersama-sama untuk panduan semua guru-guru yang bertugas untuk minggu 3, iaitu:
- Norshahiza
- Wan Halieza
- M. Bahij
- Mohd. Amirul Alkauthar
- Nur Syafrida
- Siti Mushrifah
- Noraziah
Pihak pentadbir dan guru mengharapkan agar perhimpunan rasmi akan berjalan seperti biasa untuk minggu-minggu yang seterusnya.
Sekian, terima kasih.
Laporan Disediakan Oleh,
LAMPIRAN BERGAMBAR
LAPORAN PELAKSANAAN PROGRAM IHYA' RAMADAN 1444H SKTPP2
Pada 31 Mac 2023 bersamaan hari Jumaat yang mulia, satu program yang dirancang oleh Panitia Pendidikan Islam telah dilaksanakan, iaitu Program Ihya' Ramadan 1444H peringkat SK Taman Putra Perdana 2. Program ini telah berlangsung di dataran perhimpunan dan dewan terbuka.
Tepat jam 7.50 pagi, majlis dimulakan dengan Bacaan Yasin dan Tahlil Arwah yang telah diketuai oleh Al Fadhil Ustaz Mohd. Shafie Bin Muhammad. Selepas bacaan Yasin, kesemua 800 nama arwah yang telah diberikan oleh warga SKTPP2 melibatkan ibu bapa dan guru-guru telah diselitkan bersama-sama dalam bacaan doa arwah.
Majlis bacaan Yasin tamat tepat pada jam 9.00 pagi. Majlis diteruskan dengan Pelancaran Program Ihya' Ramadan yang bertempat di Dewan Terbuka SKTPP2. Murid-murid digerakkan dari dataran perhimpunan ke dewan terbuka dengan bantuan semua guru. Guru Besar memberikan pujian dalam ucapannya bahawa pergerakan murid dapat dilaksanakan dengan lancar dan sempurna dengan mengambil masa hanya 10 minit.
Majlis di dewan terbuka diambil alih oleh pengacara majlis, iaitu Al Fadhil Ustaz Ahmad Syazwan Bin Armi. Beliau memulakan majlis dengan menjemput Penyelaras Program, iaitu Ustazah Siti Norasyeqah Binti Besar untuk menyampaikan ucapan aluan.
Selesai ucapan Penyelaras Program, majlis diteruskan dengan ucapan daripada Tuan Guru Besar, Encik Zanuddin Bin Sanuan. Dalam ucapannya, beliau mengucapkan tahniah kepada murid-murid yang berpuasa. Beliau turut memberi peringatan kepada murid-murid untuk menjaga keselamatan diri terutamanya apabila hari raya yang bakal menjelang. Akhir ucapan beliau, telah diingatkan kepada murid-murid untuk tidak membawa bahan letupan seperti mercun ke sekolah dan tindakan tegas boleh diambil sekiranya ada murid yang ingkar dengan arahan dan peraturan yang telah ditetapkan.
Majlis beranjak maju dengan ucapan daripada Yang Dipertua PIBG SKTPP2, Dr. Idris Bin Hussain. Beliau menyatakan hasrat kepada semua murid agar menjadi murid yang baik kerana apabila sudah baik maka akan membawa kepada kecerdikan yang mapan sebagaimana kehendak Kementerian Pendidikan Malaysia yang terkini. Beliau mengakhiri ucapan beliau dengan merasmikan Program Ihya' Ramadan 1444H SKTPP2.
Tepat jam 9.50 pagi, majlis diteruskan dengan gimik perasmian yang telah disempurnakan oleh Yang Dipertua PIBG bersama-sama dengan Tuan Guru Besar serta barisan pentadbir yang lain. Gimik yang telah disediakan sangat unik dan menarik.
Majlis bertambah meriah apabila para guru dan murid dipertontonkan dengan persembahan bercerita yang luar biasa. Bakat terpendam bercerita ini telah ditonjolkan oleh adik Qaireen melalui ceritanya yang bertajuk "Tiket ke Syurga". Majlis semakin rancak apabila para penonton dipersembahkan dengan dua persembahan, iaitu nyanyian duet dan nyanyian berkumpulan. Nyanyian duet diwakili oleh adik Hani Safeeya dan adik Fatini dengan lagunya Ramadan Tiba manakala nyanyian berkumpulan diwakili oleh murid-murid Tahun 4 dan 5 dengan lagunya yang bertajuk Rahmatan Lil A'lamin.
Atur cara majlis diteruskan dengan sedikit tazkirah yang telah disampaikan oleh Al Fadhil Ustaz Mohd. Razis Bin Md. Shainisi. Beliau memberikan tazkirah berkaitan Neraka Jahannam, amalan berpuasa serta tatacara untuk menjadi seorang murid yang baik. Setiap kalam takzirahnya disertakan dengan alunan bacaan Al Quran yang turut dibacakan bersama-sama dengan murid-murid SKTPP2. Perkongsian yang telah diberikan oleh beliau sangat bermanfaat dan menikam kalbu warga SKTPP2.
Tazkirah tamat tepat pada jam 11.10 pagi. Atur cara majlis diteruskan dengan penyampaian cenderamata kepada Ustaz Mohd. Razis Bin Shainisi yang telah disempurnakan oleh Puan Zulastri Binti Mohd. Zahidi, PK Pentadbiran SKTPP2. Selesai penyampaian cenderamata, majlis diserahkan kepada Unit Disiplin untuk pergerakan naik ke kelas.
Akhirnya, Panitia Pendidikan Islam mengucapkan jutaan terima kasih kepada Tuan YDP PIBG atas kesudian melapangkan masa dalam program ini. Ribuan apresiasi kepada barisan pentadbir yang memberikan peluang dan saranan untuk pelaksanaan program ini dari awal hingga akhir. Terima kasih juga kepada semua guru yang telah bersama-sama menjayakan program ini. Tidak lupa juga kepada anak-anak didik yang mempamerkan tingkah laku yang sangat baik sepanjang program berlangsung. Diharapkan agar program sebegini dapat diteruskan lagi pada masa akan datang.
Laporan Disediakan Oleh,
LAMPIRAN BERGAMBAR








































































