PROGRAM MENTOR MENTEE
Program ini dirancang untuk cuba mengatasi masalah atau kelemahan murid di sekolah. Dengan adanya program ini, guru akan lebih dekat untuk mendalami dan cuba untuk memahami masalah murid secara lebih menyeluruh. Bilangan kawalan guru ke atas murid yang lebih kecil sudah pasti akan dapat merealisasikan tujuan sebenar program Mentor Mentee ini. Pengisian bagi setiap perjumpaan di susun atur dengan perkara-perkara yang sememangnya dirancang untuk kebaikan murid.
Kejayaan murid adalah merupakan sesuatu yang amat bernilai bagi sesebuah sekolah. Bagi memastikan kejayaan ini, pelbagai usaha perlulah dilakukan. Pengorbanan guru merupakan peranan yang amat penting bagi memastikan segala yang dilakukan adalah untuk membantu meningkatkan prestasi murid terutamanya bagi mereka yang lemah. Di antara alternatif yang diambil ialah dengan mewujudkan hubungan yang baik di antara guru dan murid yang dikenali sebagai Program Mentor Mentee. Guru merupakan seorang Mentor yang akan membimbing murid iaitu sebagai Mentee berdasarkan peraturan-peraturan yang telah ditetapkan untuk lebih mengenali Mentee secara lebih menyeluruh. Kesediaan dan usaha Mentor merupakan titik utama dalam mencari dan membantu Mentee mengatasi kelemahan mereka dengan cara yang lebih berkesan.
Pihak sekolah amatlah mengharapkan agar usaha ini akan mendatangkan kebaikan kepada semua yang terlibat dan ucapan terima kasih di atas kerjasama yang diberikan.
Bulan Membaca




Pusat Sumber Sekolah telah melancarkan Bulan Membaca pada 25 Julai 2011 (Isnin). Pelaksanaan program adalah selama sebulan. Pelbagai aktiviti telah dan sedang dijalankan mengikut panitia mata pelajaran masing-masing. Sebelum pelancaran Bulan Membaca, semua guru dan murid membaca buku selama 5 minit di tapak perhimpunan.
Persembahan pelancaran telah dikelolakan oleh Pn Nur Diyana, Ketua Panitia Sains. Terima kasih Ketua Panitia Sains di atas persembahan yang kreatif dan bermaklumat.
'Fun Science'



Baru-baru ini 'Fun Science' telah diadakan di Pusat Sumber SKTPP 2 pada 23 Julai 2011 (Sabtu). Aktiviti ini telah dikelolakan oleh En. Mohd Faiz b. Mat Isa , Naib Yang Dipertua PIBG. Penyertaan adalah di kalangan ibu bapa, guru-guru dan murid-murid yang berminat. Pihak sekolah mengucapkan ribuan terima kasih kepada NYDP atas usaha tersebut.
Program Mentor Mentee

Program mentor mentee adalah salah satu program peningkatan tahun 6. Semua guru sesi pagi terlibat sebagai mentor kepada murid-murid tahun 6. Program ini dianjurkan oleh Unit Bimbingan dan Kaunseling bersama JK Tahun 6 di mana ia telah dilancarkan pada 04 Julai 2011 (Isnin)yang lalu. Semoga murid-murid dapat manfaat sepanjang program ini dengan cemerlang. Jadikan mentor anda sebagai ibu bapa kedua anda di sekolah. `Sesungguhnya kejayaan masa hadapan adalah tindakan masa kini'
Semoga sekolah ini mendapat cemerlang setanding dengan sekolah-sekolah lain.
Kem Bestari Solat Tahun 2 dan 3




Kem Bestari Solat Tahun 2 dan 3 telah dijalankan pada 23 Julai 2011 (Sabtu) yang lalu. Penyertaan murid tahun 1 adalah seramai 122 orang manakala tahun 2 ialah 70 orang. Diharap objektif sebenar kem ini dapat dicapai mengikut kehendak agama dan negara. Terima kasih kepada semua guru yang menjayakan kem tersebut.
Program Tahun 6 yang bakal mendatang...


Ini adalah merupakan di antara program-program yang akan diadakan khusus untuk murid-murid Tahun 6 iaitu Program Release Tension dan Lawatan Ke Pulau Langkawi.
Bagi Program Release Tension, ia akan dijalankan seminggu sebelum berlangsungnya peperiksaan UPSR dimana ia adalah bertujuan untuk merehatkan minda murid-murid Tahun 6 buat seketika setelah berhempas pulas mengulangkaji pelajaran yang berterusan.
Sementara itu, satu lagi program yang mampu memberangsangkan lagi semangat murid-murid untuk berjaya dengan cemerlang dalam UPSR ialah Lawatan Ke Pulau Langkawi (untuk murid-murid yang mendapat keputusan 5A) tajaan PIBG SKTPP2 2011 yang akan diadakan selepas mendapat keputusan peperiksaan UPSR nanti.
Dengan ini, adalah menjadi harapan seluruh warga SKTPP2 agar murid-murid Tahun 6 ini akan berusaha dengan lebih gigih untuk mencapai kejayaan yang cemerlang dalam UPSR 2011...InsyaAllah...
"I will prepare and some day my chance will come," quoted by Abraham Lincoln
"The best way to see Faith is to shut the eye of Reason," quoted by Benjamin Franklin

Minggu Bahasa Inggeris dan Bahasa Melayu SKTPP2, 2011




Minggu Bahasa Inggeris ini telah dijalankan pada 20 hingga 23hb Jun 2011 yang lalu bergabung dengan Minggu Bahasa Malaysia. Kali ini, tema yang dipilih ialah "Balloons & Bubbles". Maka, sebagai memeriahkan lagi acara perasmian bagi Minggu Bahasa ini, panitia BI dan BM telah mengambil inisiatif untuk memilih Gas Balloons untuk dilepaskan ke udara...






